Beberapa Unsur Sains Melayu Islam yang Tertua dan Cabarannya
Shaharir bin Mohamad Zain, (2006) Beberapa Unsur Sains Melayu Islam yang Tertua dan Cabarannya. Malaysian Journal of Science and Technology Studies, 4 . pp. 115-131. ISSN 1675-8102 Official URL: http://sts.um.eu.my AffiliationsINSPEM, UPM ASASI AbstractOleh sebab Hikayat Raja Pasai (HRP) dipercayai lebih tua daripada ‘Aqa’id al-Nasafi yang bertarikh 1593 itu maka apa-apa maklumat yang terdapat dalam buku ini bolehlah dianggap maklumat Melayu Islam yang tertua. Dalam kajian ini ditunjukkan adanya dalam HRP itu pokok yang tiada nama sainsnya, iaitu kapur barus, sebasani (tiada dalam kamus pun) dan beberapa jenis kesturi; dan adanya haiwan yang belum ada nama sainsnya, iaitu gelang-gelang, kara, kertang, kesturi, kuda semberani, semut sebesar kucing, ketam berdayung, lembedak mengidam, rama-rama bersil, udang sanggul dan ular lembu (5 terakhir ini tiada dalam kamus pun). Dalam HRP juga ditunjukkan ada bentuk ayat-ayat mantik Melayu Islam yang berbeza daripada sekarang umpamanya tiadanya penafian yang menggunakan “tidak” atau “bukan”, tetapi semuannya “tiada” dan gayanya cukup lembut sehingga bolehlah diistilahkan sebagai “penafian lembut”; pengkuantiti wujud pula hanya “ada” dan “adalah” (bentuk lembut, yang tiada sekarang), dan belum ada perkataan “wujud” atau “ujud”; pengkuantiti semesta yang cukup berbeza daripada sekarang ialah “barang” dan pengulangan kuantiti dan tiadalah perkataan “sebarang”, “setiap” (walaupun ada “tiap-tiap”). Mantik implikasi yang kurang digunakan sekarang ialah berbentuk “Setelah A maka B”, “Jika A nescaya B”, (atau “Jikalau”), “Maka tatkala A maka B” (atau tiada “Maka” itu); dan “Apabila A maka B”. Pengganti “jika” yang tidak digunakan sekarang ialah “dari karna itulah”, “oleh karna” dan “sebab karna” ; dan tiadalah ungkapan “oleh itu” atau “oleh sebab itu”. Penggunaan “Maka” di permulaan ayat amat berleluasa dan maknanya memang “perkara dahulu itu mengimplikasikan”. Orang Melayu pada abad ke-13M dahulu pun sudah tahu bilangan ratus, ribu , ribu-ribu, keti (= seratus ribu), sudah membezakan “tiada tepermanai”, “tiada terhisabkan” dan “tiada terkira-kira”. Mereka menggunakan ungkapan “tiada berbagai” untuk maksud “tiada bandingan”, dan mereka juga sudah biasa dengan matematik bahagi berpemberat atau dividen. Unit-unit sukatan yang mereka pakai agak komprehensif sehingga kepada unit banyaknya lombong emas (makdan, yang sepatutnya mikdarun/makdurun/ mukaddirun) dan banyaknya dakwat (koci); dan oleh itu ada yang tidak dirakamkan dalam kajian Abdul Razak (2000) tentang sukatan Melayu iaitu peti, koci, galang, makdan, sebu, rantau dan tiada berbagai. Terdapat juga istilah-istilah tentang arah atau mata angin atau kompas sekarang iaitu “timur” (atau “bawah angin”, “wetan”), “barat” (atau “atas angin”, “kulon”), utara, selatan, ilir, mudik atau hulu, dan kedudukan bintang dengan kewujudan “ahlul nujum” diraja. Adanya ahli kimia yang digelar “orang seri” yang hebat khususnya termasuklah membuat segala macam racun . Adanya ilmu kepemimpinan di dalam HRP ini juga menunjukkan kepemimpinan Melayu Islam sudah bertapak di kalangan pemimpin Melayu sejak abad ke-13M lagi dan sekaligus menidakkan Taj al-Salatin (TaS), karya Bukhari al-Jauhari 1603, sebagai sumber ilmu kepemimpinan Melayu Islam yang tertua; walaupun ciri-ciri kepemimpinan itu tidak sekomprehensif dalam TaS itu. HRP juga menceritakan tahap Feudalisme Melayu Islam yang cukup tinggi dalam abad ke-13M dan ke-14M dahulu dan adanya pelbagai amalan yang amat bertentangan dengan Islam di samping tahap emansipasi wanita yang agak luar biasa berbanding dengan wanita sekarang pun.
Repository Staff Only: item control page
|